Monday, November 29, 2010

Kita dan Keretapi














Setiap keretapi punya jadual masing-masing. Ada waktu ketibaan dan juga destinasi yang ingin dituju. Begitu juga dengan setiap stesen persinggahan, semuanya sudah tercatit.

Di Malaysia, jarang benar keretapi yang tepat pada waktunya. Kadang-kadang terlewat beberapa minit, ada juga lewat berjam-jam. Terkandas di tengah jalan barangkali. Itu menjadi rahsia yang kita sendiri sukar untuk menjangkanya. Namun demi menuju ke destinasi yang kita impikan, kita tetap juga setia menanti ketibaan keretapi kita.

Sehinggalah ia tiba. Untung badan, keretapi kosong dan kita dapat naik kemudian duduk. Melepaskan penat dan lelah, dengan tenang menuju ke destinasi impian. Namun ada juga yang tidak bernasib baik, keretapi tiba namun terus berlalu pergi kerana muatannya sudah penuh, dan kita hanya mampu memandang dari kejauhan. Ia pergi meninggalkan kita bersama muatannya begitu saja. Kita berputih mata.

Kini nasib berpihak kepada kita. Keretapi kita sudah tiba, pintunya terbuka untuk kita. Kita menyusun langkah masuk ke perut keretapi dengan penuh berhati-hati. Setelah penat menunggu, akhirnya penantian kita sudah berakhir. Kita memanjatkan rasa syukur, penantian kita telah membuahkan hasil.

Kita kini sedang menaiki sebuah keretapi yang panjang dan sangat laju. Kita meninggalkan stesen kita bersama-sama mereka yang masih setia menanti di stesen tersebut. Gembiranya kita. Mahu saja kita meneriak, 'Hey! keretapi aku sudah tiba, aku akan tinggalkanmu!"

Di dalam keretapi itu, kita tidak sendirian. Kita bersama dengan penumpang keretapi yang lain. Ada tua, ada muda. Ada lelaki, ada perempuan. Ada yang beragama Islam, dan bukan beragama Islam. Ada orang Melayu, ada juga bangsa lain. Variasi. Namun semuanya sedang dalam perjalanan, menuju ke sebuah destinasi, sama seperti kita. Cuma di mana destinasi mereka, hanya mereka dan Allah saja yang tahu. Kita mengambil sikap tidak peduli. Biarlah mereka dengan destinasi mereka, asalkan kita selamat tiba, itu yang utama. Lalu kita menikmati perjalanan kita itu, dengan cara kita sendiri. Masa terus berlalu. Stesen pertama kian jauh, stesen terakhir kian mendekat.

Ada penumpang turun di stesen destinasinya lebih cepat, ada juga yang lebih lambat. Hingga ke penghujung perhentian. Masing-masing punyai stesen yang ingin dituju, berbeza-beza. Cepat atau lambat. Itu bergantung kepada matlamat yang ingin dituju. Niat dan kehendak yang dipasang dalam diri. Juga usaha yang dilakukan, yakni tiket yang telah dibeli. Untung jika menggunakan kad 'touch n go', turun di mana-mana destinasi pun tiada menjadi permasalahan. Ya. Bergantung kepada banyak pembolehubah. Bukan satu atau dua, tapi banyak.

Dan kadang-kadang kita hanya mampu merancang, tapi penentu segalanya tetap juga Tuhan yang Esa. Keretapi itu mungkin rosak di tengah jalan. Kita terkandas. Mungkin juga kemalangan, nyawa melayang atau kita cedera. Semuanya rahsia. Kita tidak tahu apa yang menanti kita sepanjang perjalanan itu. Walau apa pun jua yang terjadi. Suka atau tidak, kita tetap jua perlu terima. Kerana kita tahu, keretapi itu bukan milik kita. Bukan milik kita seorang, kita hanya seorang penumpang. Seorang penumpang.

Keretapi.

Sebenarnya saya berbicara soal jodoh pertemuan. Tentang hakikat sebuah pernikahan. Bagaimana anda kaitkan, terserah. Terima kasih kerana sudi membaca.

No comments:

Post a Comment