Saturday, November 6, 2010

Dan Rindu Pun Berlabuh

Dengarkanlah rintihanku,
Jeritanku, suara hatiku,
Bisikkan padanya, aku rindu.

Rindu pada insan pertama menyintaiku. Sepenuh hatinya menyintaiku. Dia sentiasa mengasihiku setiap waktu. Aku rindu pada insan yang melindungiku setiap masa, menenangkan aku tatkala aku kegelisahan. Menyapu airmata yang murah mengalir di pipi. Memeluk aku di saat aku ketakutan.

Bila aku terjatuh, dialah insan pertama yang menghulurkan tangan untuk menarikku kembali ke atas. Bila aku terluka, dialah insan pertama yang membalut luka, menuang seribu penawar biarpun luka itu tiada berdarah. Bila aku gentar mendongak kepala memandang ke hadapan, dia memimpin tanganku, menerangi jalan buatku.

"Edi, jangan takut. Mak sentiasa ada bersama hang. Allah itu Satu. Dia Maha Mengetahui."

Ibu, kau dicipta sempurna oleh-Nya. Dikaulah 'malaikatku' yang sentiasa aku kasihi dan aku rindui. Moga kita kekal bahagia, sampai syurga.

Ibuku. Aku sayang kamu.

Rinduku bertebaran. Berlabuh pula pada seorang insan yang setia di sisiku. Dia yang mendokong aku, menyokong aku, mengajar aku bertatih, mengajarkan aku alif ba ta. Dia yang menghiburkan aku, menyanyikan lagu bila aku berduka. Dia yang mengusap kepalaku dengan tangan kasarnya penuh kasih. Dia yang tak betah melihat aku menangis.

Dialah ayah yang aku kasihi.

Biarpun susah, demi melihat segaris senyuman di wajahku, ayah sanggup mengalah. Biarpun penat dan lelah, demi melihat aku gembira ayah sanggup berbuat apa sahaja. Kita bergurau senda, ketawa sama-sama. Dan ayah, anakmu kini sudah dewasa.

Mak... Ayah.... Anakmu kini sudah mampu berdiri di atas kakinya sendiri. Minta maaf Mak... Ayah...Jasamu kepada ku umpama lautan yang terbentang luas. Aku mohon seribu kemaafan kerana tak dapat nak kubalas semua jasa-jasa itu. Kasihku tidak bertepian biarpun takdir menjadi sempadan antara kita. Aku hanya mampu berdoa semoga kalian di rahmati Allah...

No comments:

Post a Comment