Saturday, September 25, 2010

SATU-satunya imej universal di kota-kota besar di dunia ialah seniman jalanan. Kemunculan kelompok ini memberikan imej yang unik kepada kota raya berkenaan. Mereka yang terdiri daripada pelukis, penyanyi, badut atau pemuzik adalah manusia unik yang mengekspresi suara jiwa di tengah-tengah manusia yang lalu lalang.

Di Kuala Lumpur, kalau kita menyusuri lorong di Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman atau di kaki lima Pasar Budaya, kita akan temui kelompok seniman jalanan. Tetapi bagi sesetengah pihak, kehadiran kelompok ini mencacatkan pandangan. Maka timbullah prejudis yang sekali gus membina persepsi tidak baik tentang seniman jalanan.

Hakikatnya kehadiran kelompok ini tidak mengganggu orang. Seniman jalanan dengan dunia mereka dan tidak pernah berkecil hati kalau ada yang berat menghulurkan wang.

Kelompok seniman jalanan ini sebenarnya mempunyai tempat dalam pengisian nilai-nilai manusia bagi sesebuah kota raya. Kalau mereka diberi peranan dan diuruskan dengan baik, tentu tidak ada imej yang boleh mencacatkan pandangan.

Banyak kota-kota besar dunia kini sudah tidak prejudis kepada kelompok seniman jalanan. Ini kerana pentadbir kota raya berkenaan sedar bahawa kemunculan kelompok ini menandakan mereka warga yang prihatin. Setidak-tidaknya menyuarakan pandangan dalam karya.

Kehadiran

Apa lagi bagi kota raya yang mahu menonjol dengan imej kota budaya, kelompok seniman jalanan inilah antara ikonnya. Kota seperti Paris misalnya, diingati kerana kehadiran seniman jalanan di Montmartre. Ini kerana Place Du Tertre di tengah-tengah Montmartre menjadi tempat berhimpun seniman jalanan di kota Paris.

Kita kena ingat, tidak semua orang pergi ke Paris untuk melihat kerangka besi Menara Eiffel. Banyak lagi yang lebih menarik antaranya persembahan di Place Du Tertre.

Place Du Tertre kelihatan seperti Taman Ismail Marzuki (TIM) di Jakarta yang menghimpunkan semua seniman, tidak kira arus perdana atau tidak untuk berkarya. TIM menyumbangkan imej kota seni dan budaya kepada Jakarta di sebalik lalu lintas yang begitu berserabut.

Maka pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melihat kehadiran seniman jalanan boleh menyumbang kepada imej Kuala Lumpur. DBKL perlu memberikan perhatian yang serius ke arah menonjolkan seniman jalanan secara bersepadu.

Seniman jalanan di Kuala Lumpur kelihatan terbiar. Kita tidak mempunyai tempat yang khusus untuk menghimpunkan pelukis, badut, penyanyi dan pemuzik. Maka tidak hairanlah kalau seniman jalanan berselerak dan tidak terurus.

Kalau kota yang lebih besar dan maju boleh toleran dan memanfaatkan seniman jalanan, tidak ada alasan untuk kita menafikan kehadiran mereka yang juga warga di kota ini.

Dipetik dari:
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment